KUALA LUMPUR 10 Jun – Pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli pakatan pembangkang diminta menghormati idea gagasan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dewan Pemuda Pas berpendirian peluang perlu diberikan sepenuhnya kepada Abdul Hadi untuk memberi penjelasan lanjut dan bukan membahaskannya berdasarkan sentimen dan emosi.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sebagai seorang yang berilmu dalam bidang agama, mustahil Abdul Hadi akan mengemukakan sesuatu yang bertentangan dengan nas, justeru mereka harus lebih bertenang, bersabar serta tidak mudah melatah apabila membicarakan idea berkenaan.
‘‘Datuk Seri (Abdul Hadi) adalah seorang yang berilmu, berpengalaman dan bukan seorang yang jahil. Beliau merupakan ketua kami dan juga seorang ulama. Beliau berkelayakan untuk melontarkan apa jua idea yang mampu memberi manfaat kepada agama, rakyat dan negara.
‘‘Cetusan idea kerajaan perpaduan ini dibuat secara ilmiah iaitu dengan bersandarkan nas serta dalil di dalam Islam. Mustahil Datuk Seri akan mengemukakan satu idea yang boleh mendatangkan keburukan.
‘‘Sehubungan itu jika hendak dibahas sekalipun ia perlu dilakukan dalam konteks disiplin ilmu yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas bantahan beberapa pemimpin dalam pakatan pembangkang berhubung idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Abdul Hadi.
Idea itu pernah dikemukakan sebelum ini tetapi senyap seketika apabila mendapat bantahan pihak-pihak tertentu termasuk daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi ia timbul semula dalam Muktamar Pas Ke-55 yang berakhir Ahad lalu.