KUALA LUMPUR 11 Sept. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya akan meluluskan penggunaan Bahasa Kebangsaan bagi semua papan tanda jalan di sekitar ibu kota.
Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup (gambar) berkata, sekiranya terdapat pihak yang tidak mengikut peraturan dengan menaikkan papan tanda yang “terlarang”, DBKL akan menurunkannya dengan segera.
“Orang lain tidak boleh senang-senang pasang papan tanda, hanya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang boleh melakukannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Salleh berkata, beberapa papan tanda nama jalan bertulisan jawi sudah diterima pakai di kawasan Kampung Baru, Bandar Tun Razak dan Datuk Keramat dan kerana itu, ia tidak diturunkan.