SEREMBAN 11 Sept. - Petugas Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri mengusir wartawan sambilan Utusan Malaysia, Hussaini Amran semasa membuat liputan sidang akhbar pengisytiharan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) menyertai parti tersebut di Pejabat Perhubungan PKR negeri dekat sini hari ini.
Menurut petugas PKR tersebut yang enggan namanya disiarkan, beliau menerima arahan menghalang wartawan Utusan Malaysia membuat liputan daripada pihak atasannya.
Tambahnya, arahan tersebut dikuatkuasakan pada setiap sidang akhbar yang dikendalikan PKR di seluruh negara.
Bagaimanapun, tiada sebarang notis menghalang Utusan Malaysia membuat liputan diletakkan di pintu masuk atau pada tempat-tempat lain di Pejabat Perhubungan PKR negeri.
Malah, Pejabat Perhubungan PKR negeri turut menjemput petugas media di negeri ini termasuk Utusan Malaysia ke sidang akhbar berkenaan pada pukul 11 pagi melalui faks yang dihantar semalam.
Apabila dimaklumkan tentang jemputan itu, petugas PKR tersebut hanya menjawab dia tidak mahu ambil tahu.
''Itu saya tidak tahu. Yang saya tahu, wartawan Utusan Malaysia tidak dibenarkan membuat liputan sidang akhbar ini," katanya.