KUALA LUMPUR 14 Sept. - Anggota Kabinet tidak wajar menggesa rakan sejawatnya meletakkan jawatan atau pun dikenakan sebarang tindakan kerana keputusan itu hanya wajar dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, tindakan menuding jari kepada pihak lain dengan meminta individu terbabit meletakkan jawatan tidak harus berlaku.
''Bila kita menuding jari macam itu, satu hari esok orang lain pula suruh kita berhenti.
''Jadi, tidak wajar anggota Kabinet lain menggesa rakannya supaya berhenti atau diambil tindakan. Itu adalah satu gesaan yang tidak seharusnya dilayan atau dilaksanakan kerana kuasa itu hanya ada pada Perdana Menteri,'' katanya.