KEPALA BATAS 24 Jun – Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim mahu kerajaan negeri menjelaskan dakwaan bahawa terdapat warga emas di negeri ini diminta mengisi borang pemberian sagu hati tetapi disyaratkan supaya menjadi ahli DAP.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga mendakwa, warga emas terbabit termasuk dari kawasannya telah diminta menjadi ahli parti itu terlebih dahulu untuk mendapatkan sagu hati kerajaan negeri.
“Ramai (warga emas) yang datang kepada saya dan bertanyakan mengenai perkara (pemberian sagu hati) itu dan saya minta mereka isi saja borang kerana kita pun nak tahu apa sagu hati yang hendak diberi.
“Tetapi mereka mendakwa diminta mengisi borang lain untuk menjadi ahli DAP bagi melengkapkan ruang ‘nombor ahli’ dalam borang sagu hati itu, jadi, kita minta kerajaan negeri menjelaskan dakwaan ini. Kalau ikhlas hendak beri sagu hati, berikan saja. Kenapa hendak suruh mereka masuk DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebolehpasaran Graduan Pulau Pinang 2009 di sini hari ini.